Jumaat, 6 Jun 2014

SEORANG IBU TUA DI HUJUNG DESA

SEORANG IBU TUA DI HUJUNG DESA

Retak wajahnya
kelam sinar mata
ketaran jari jemari
kenangnya ingat-ingat lupa
senyum tersipu
merenung mencari siapa
itulah wajah usia seorang tua
di hujung desa.

Kala diri dikunjung
indahnya bagai disanjung
anak-anak menyergah
sanak saudara mengagah
sahabat tertawa gah
mulutnya riuh melatah
lelah
terlupa susah payah.

Itulah kebahagiaan
menjadi seorang tua
mengukir hayat mencari maknawi
dalam sebuah kehidupan
biar mati tak menjadi beban

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak..

Siaran Harian Metro 16 April 3013

Isnin, 6 Januari 2014

BADAI HIDUP

Tidak terucap dengan kata-kata
pedih tusukan sembilu duka
waktu kita masih bersama
merejam aku dalam sengsara
meruntuhkan mahligai impian
engkau putuskan talian kasih
sedang anak dalam susuan
engkau rentap jauh tersisih.

Kini aku berlayar sendiri
tanpa nakhoda
bila takut merentas lautan
gelombang hidup menakutkan
dapatkah menjinak ombak
andai badai sentiasa bergolak.

Kalau dapat
hidup ditenun indah
dari tangan insan budiman
inginlah aku
turut menjadi hamparan
menyulam bunga senyum
menghiasi mahligai bahagia
tanpa duka dan airmata.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
26 Dis 2013

BILA CINTA





Jangan lara kerana cinta
itu bukan penyudah bahagia
andai diturut gelora rasa
pasti jiwa dalam derita.

Cinta itu suci dan murni
walau bersatu tidak pasti
andai diri saling mengerti
cinta sejati kekal abadi.

Bila cinta menawar rasa
antara suka dan duka nestapa
jangan diturut nafsu membara
usah merana kerana hampa.

SRI MAWAR
KualaKurau
Perak
27 Dis 2013

BUNGA HARI







Baru tadi engkau pergi
2013
tidak mungkin kembali lagi
namun sisa -sisa kelmarin
masih berbekas menjadi kenangan.

Dan hari ini
2014
bermula langkah perjalanan
apakah sehebat dulu
atau masih kekal membeku.

Bila semuanya takdir
tiap sesuatu menjadi ilusi
berbunga harapan
menjadi impian
sebelum nafas terhenti
do'a kudus tetap mewangi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak.
1Jan 2014




ENGKAU YANG HILANG




Tersentak dari igauan
kelu kata-kata
semua sudah berakhir
dia pergi menjejak takdir.

Masih ada janji
yang belum lunas
buat rimbun bertunas     
maafkan
andai diri tidak layak
berlari mengikut jejak.

Engkau yang hilang
mematikan semangat
harapan terbeku
tidak mampu mencari
sejuring cahaya
dalam suara dan karya.

hanya engkau yang mengerti
kematian melupuskan mimpi
dan aku pun tertutup bicara
sepi dan tak berharga

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
4 Dis 2013



MARAK API

Semarak api
kadangkala membakar diri
mengundang hangat
panas menyengat kulit
mata sakit memandang
bahang mengundang pedih..

Siapakah yang sudi menjirus
padamkan api dendam
dalam diam jengkil terpendam
jika sekadar menambah wap
bertebaran kepulan asap
hitam menjulang
debu nista bertaburan
biarkan ia menjadi bara
letih menyala menjadi arang
menconteng ke wajah diam.

Hati yang liar
bila sukar ditawan
biarkan saja berkeliaran
lepaskan saja keluhan sendiri
simpankan duka di lubuk hati
anggap harapan hanyalah mimpi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak..
26 Dis 2013

BAHAGIA


Kita sedang bahagia 
tanpa ada keraguan
menanam pohonan cinta
membiak menjadi ladang
kuntum kembangnya kita cium
aroma kasturi mengharum..

Kita pernah luka
dalam arus sengketa
dan darah merah melimpah
dari aspal hati
yang memercik benci.
lalu muhasabah diri.

Kita pun mengapai
keindahan dalam harmoni
melupuskan jengkil hati
memungut kasih sayang
merentasi titian hidup
kebahagiaan kita hirup..

Tiada lagi sukma membarah
dalam redha dan pasrah
kita merenung kekhilafan
buang jauh –jauh
debu keliru masa lalu
menjernihkan noda rasa
melupuskan sengketa.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak.
25 Dis 2013.

ULANG TAHUN PERKAHWINAN 2013