Khamis, 22 Ogos 2013

RENTAK HATIMU


dalam bersuara
hati tidak sekata
jujur tidak sehala
ikhlas entah ke mana.

dalam berucap
palsu di benak menancap
walau kalbu mengasap
sekadar menyemarak benci
mengepul amarah dan dengki.

engkau merasa hebat
namun takburmu menyarat
bicaramu tahu segala
indah khabar membayang rupa
helah meraja
berani mengapi –api
salah benar tidak dikaji.

engkau puji gemerlap bintang
lalu mengeji kegelapan malam
engkau puja gemilau laut
gelisahkan bahang mentari menyalut
engkau pendam sekelumit dendam
namun alpa fitrahnya alam
engkau lupa maknanya budi
mendabik dada membuka diri.

hikmah sentiasa terpendam
jatuh bangun disepak terajang
permainan hidup
dalam panas maupun redup
andai nafsu melebihi akal
kuasa dan asa tidakkan kekal
selamanya engkau dilambung
ombak kejam sentiasa mengulung
bila hatimu membengkak
belajarlah untuk merangkak.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
21 Ogos 2013

FIKIR

Fikir bertunjang akal
kemahuan mencengkam dada
kemenangan empunya kuasa
agama mencorak iman
bangsa berteras kekuatan.

Tanah air maju makmur
negara kita mengharum subur
Malaysia indah bestari
meski goyang digegar dekmokrasi
antara pendusta rancak berdusta
antara cendekiawan kehilangan cita.
atau kebenaran menerajui suara.

Selamilah lubuk sejarah
pandanglah langit Mesir
perang saudara kian bergolak
peluru hembur lebur memamah
darah tumpah melimpah ruah.

Intailah Pelastin
dan negara kehilangan mastautin
di buru mimpi ngeri
sedang kita warga merdeka
inginkah bernasib celaka
dengan tamak haloba segala.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
20 Ogos 2013

KEHILANGAN ARAH


Gerimis berderai
kuyup mendekap gigil
keraguan bersarang
ke mana hala kaki melangkah
berkabut dingin
memutih pandangan
mata makin membasah.
kehilangan arah..

Terpinga-pinga
menjejak lumpur
becak berdanur
hujan makin lebat
guruh mengerun
petir bagai mengugat.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
12.55pm.

TENANG

Walau retak menanti belah
cantuman tidak terelah
biar kukuh bersepadu
bersemangat jitu.

Kecelaruan mainan fikir
bila dihening akal yang fakir
walau sedikit dibawa menung
mengutip sehalus punca
sejarah bagaikan arca
tampaklah seninya
tidak diri dibuat aniaya.

Prasangka menguji
dalam khabar dan nyata
halanya tetap sekata
mendidik kesabaran
tenang di dalam debar
walau diri tercabar.

SRI MAWAR
Kuala Kurau,
Perak.
14 Ogos 2013

DI LAUT HAYAT

Menyelam di laut hayat
kadangkala jaring terkoyak
tak mampu meraih
mutiara terpilih.

Biduk pun karam
melawan ombak
ke dasar dalam
direjam olak.

Andai terdampar
di pulau nasib
mentari bersinar
kalbu terbetik
laut tak selamanya mesra
bukan masa buat 
 bercanda.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak,
13 Ogos 2013
9.20 pm

DUKA BERCERITA

DUKA BERCERITA  

Aku terpegun
menatap duka
dari  rambu airmata.

”Kenapa, dik?”tanyaku
"terkenang ibu ,
di kejauhan  terlantar kini,
tak ada yang merawat
melainkan jururawat”
'keluarga? '' 
bertanya lagi si tukang sebuk
”adik abang sesekali menjengah
namun di ketiak isteri mereka singgah"
ayah mengulit isteri muda,
tak sekali berhati hiba"
raut wajah menyimpan cerita
sendu makin 
berkaca.

Aku terkedu
membaca sesuatu
"adik tak pulang?"
bagai luluh jiwa raganya
terlantun kata
"itulah sengsaranya

suamiku binatang".

Aku terdiam
terbata-bata memujuk rasa
mencari makna dari se
bak dadanya.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
12 Ogos 2013

MUTIARA RASA


Kita mengusung rindu 
ke segenap pelusuk rasa
mengintai duka lalu
memadam igauan pilu
lalu tertawa bersama
mengilap masa depan
penuh cinta dan harapan. .

Semoga saja
kilauan mutiara yang merantai
mengikat hati
mencanai mimpi
di alam nyata
bersinar cahaya lantera
kita pun meniti kasih berbusa
dalam lingkaran budi
dinaung kasih Illahi.

Jangan lagi
perasaan dibawa keliru
membiar duka memburu
kerana kita mulai sedar
pesona khilaf mensasar
langsaikan hutang jiwa
bila lara pernah membelit
lepaskan temali duka
biar bahagia mengulit mesra.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
11 Ogos 2013
10.19pm

GEMA TAKBIR

Setiap detik nadi berdenyut
saat nafas dihela
hari pun bersilih ganti
bulan berlalu pergi
Ramadan pun berangkat
memberi berkat
melambai Syawal
Aidil Fitri di subuh awal.

Kita merangkai gema takbir
solat dan selawat sama berzikir
di rumah Allah menghampar sejadah
beramai-ramai tangan mengadah
Aidil Fitri membawa berkah
melunas dendam , nafsu amarah
memberi warna ,seri dan indah

Jadilah kita insan mulia
menyambut syawal dengan ceria
tangan bersalaman
maaf berbalasan
rindu berpaut
di kerendahan hati
kasih saudara erat bertaut.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
6 Ogos 2013
10.05 pm

SALAM AIDILFITRI


Kita sering bermesra
saling sama mencari
kesejatian dalam persahabatan
dan kita pun merangkai ukhuwah
tanpa ada rasa kasih yang tercicir
persaudaraan menjerat erat
keserasian bertaut rapat.

Namun sesekali
kita tetap menyimpan sendu
andai kekhilafan dalam bicara
atau kadangkala tragedi membuah sengketa
dalam tawa tetap menguris luka
tanpa sengaja
atau saja-saja membuat lupa
ada hati yang serpih
dari laku yang menjerut perih.

Bila datangnya Aidil Fitri
dalam kesempatan muhasabah diri
kita pun terkenang kembali
apa nasib lakuan diri
andai dosa terbawa ke esok lusa
sedang kemaafan belum dipinta.

Hari ini jemari kususun teratur
menyembah salam keredhaan
dan mohon diri diampunkan
bila kita tidak pernah dapat bersua
meski di maya keakraban tercipta
dosa takkan pernah luput
andai engkau tidak ingin menyahut
agar damai saling melenyapkan
kita pun mati di dalam iman.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
2 Ogos 2013.

KAMAR INI

Kamar ini sepi
dalam diam sering menguji
mencari-cari keriuhan
meski kusam suasana membungkam
ada yang sedang mengungkap
suara hati riuh meratap.

Kamar ini sepi
dalam senyap sering memuji
mencari-cari maknawi
rindu dendam siang dan malam
ada harapan sedang dirintih
kalbu pasrah memohon jernih.

Kamar ini sepi
dalam hening sering meresapi
mencari-cari keabadian
iman dan takwa dalam pengabdian
ada penyerahan jiwa raga
taubat nasuha dan munajat do'a

Di sejadah malam bergema takbir
tasbih dan tahmid aluan zikir
kamar tak lagi sepi
mesra didekap kasih Ilahi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak
2 Ogos 2013

JANGAN DIBIAR

Andai wasangka makin memburu
cari titik mula di situ
bunuh akar yang menjalar
semai kembali tunas sedar
jangan di biar racun meragut
cambah di ranting tempat bergayut

Jika itu cuma mainan
sekadar curiga dalam khayalan
lenyapkan mimpi ngeri
jangan di biar berhati sunyi
cari dia di mana berada
pimpin tangannya dari terleka
tutup segala pintu kejahatan
nyahkan diri dari bujukan syaitan.

Pada dia yang berhantu
bukankah pohon harap tidak satu
masih merendang pohon yang lain
untuk apa berlindung di sebalik kain
bila selendangnya menyeka tangisan
jangan di buat orang meraung
sedang engkau ketawa melolong-lolong
mencarik luka mengajar dusta
pada erti mahligai setia.

Bila anggerikmu tidak wangi
jangan bermimpi harum kasturi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak,
27 Julai 2013
12.23 am.

MANA MUNGKIN

Mana mungkin 
sendiri melingkungi diri
tanpa mengait dan dikait
tetap bergantung dan tergantung
saling bersatu
mengharap restu
wangian puisi kita hidu
kemerduan bait syahdu meresap
madah kita berkalam kata
dalam keindahan
mesra kedapatan.

Kita tidak dapat bernyanyi
bila lagu tidak berbunyi
dalam nada dan irama
melirik bait di melodi
andai mulut terdiam
dapatkah bisu membungkam
lalu sendu rindu memendam.

Bila bersendirian
tanpa sesiapa
kelu lidah buat bicara
andai membeku segala rasa
akan terhapuslah segenap cita.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak.
25 Julai 2013

BILA TIBA SAATNYA

Bila tiba saatnya 
kita pun di tamu
sakaratul maut 
menebar haruman kasturi
atau menyeringai wajah
merentap-rentap
saat roh mengeluh dan meratap.

Kita pun tertanya-tanya
pada warna
yang mencorek takwa
serta tenunan iman
yang menghiasi hayat
apakah seindah hiasan
yang tergambar
pada dinding catatan
para malaikat.

Bila mata terpejam
terbicaralah kita di dalam hisab
bersatu di Khusnul Khatimah
atau terbelenggu di Suul Khatimah
menunggu Masyhar
menuntun atau menggegar.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak.
24 Julai 2013
7.08 am

PERSIMPANGAN

Dalam hidup 
yang terindah 
saat merangkai jabat
menyimpul mesra
meluhur hati
ikhlas bersaksi
setia berbakti.

Dalam hidup
yang tersakiti
saat khianat mengigit
telapak bertemu
kelingking mengait
menghiris luka
pedih dan perit.

Di persimpangan
menentu hala
mengorak langkah
atau kembali berpaling
mencari titik mula
dalam kekeliruan
tanpa bertanya
dan menyendiri.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak.
21 Julai 2013

TERKEDU

Terkedu aku
dalam kutukan
bila sekilas cuma 
aku bertanyakan padamu
tentang harga diri
kerana sangkaku
engkau seorang yang mengerti.

Tapi engkau
lebih mencaci
melemparkan sejuta penghinaan
tanpa meletakkan tanda harga
pada secebis persahabatan
lalu kesombonganku
menjadi umpatan.

Megahkah aku
sedang keupayaan diri
hanya sekadar pengalas kaki
bagi orang sepertimu
yang sentiasa tinggi diri
dan tak pernah mengerti
erti seni yang diperhambakan.

Kini aku
menjadi kurang ajar
kerana engkau telah mengajar
bahasa benci
pada kesakitan hati.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak.
19 Julai 2013
8.54 am.

EMOSI

Ke kedai nyonya membeli kelapa
kelapa muda darilah sawah
dosa bertanya kerana alpa
mabuk menduga kesetiaan ukhuwah.

Dalam cawan ada cendawan
tambah lada ke solok ikan
dalam berkawan tetap berlawan
gurau senda bagai tusukan.

Senja merah jingganya cerah
cantik suasana warna dunia
bila anugerah suatu yang indah
tiada kuasa menolak kurnia.

Tali berantai rentang di titi
kedidi hinggap di Paku Aji
tapi andai disalah erti
mengharap budi mendapat keji.

Makan nasi berlauk haruan
nasi kandar di rumah kenduri
bila emosi memakan tuan
elok menghindar membawa diri.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak.
19 julai 2013

RAMADAN YANG HILANG C

Kupandang sepi
pinggan kosong , geletak cawan
dan talam tak berisi
waktu paluan biduk sayup kedengaran
dan riuh sudu bertingkah
di rumah jiran
mengundang nostalgia
Ramadan kita berdua, ibu.
telah hilang dicemburui waktu.

Ramadan dulu
engkau tersenyum
menyuapi aku
walau rezeki kita sekadar cuma
nasi dan ikan kering
tapi bahagia itu nyata
bagai santapan di syurga.

Aku seakan bermimpi
mencari Ramadan yang hilang
tiada lagi kucupan di dahi
semangat hidup seakan menguji
sedang ayah melupakan aku
darah dagingnya
membiarku berkelana
bagaikan yatim piatu
dari pintu ke pintu.

SRI MAWAR
Kuala kurau
Perak
13.Julai 2013
11.45pm

YANG PASTI

Waktu engkau sedang bermain
pada lembaran hayat
dan kagum dengan kehebatan
sesaat tidak ingin lepas
merebut semua peluang
selamanya
pasti ada ketikanya
engkau seperti lupa diri
terperangkap dalam kantukmu
dan khayal dalam mimpi yang manis.

Namun
andai sakit mengigit
walau mata terpejam
kepedihan bagai merejam
tidurmu tak selamanya panjang
mimpi pun hilang
dan engkau terlantar
dalam rintih dan letih.

Hingga sesaat
segala kemegahan
dan perih peri
serta bunga- bunga mimpi
tiada lagi menghantui
bila mati itu pasti
segalanya tiada lagi bererti.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
11 Julai 2013

SENYUM DAN TANGIS



Wajah seindah pagi
senyum sekembang mentari
mengharap panas menjejak petang
andai Yang Punya Kudrat
menulis laba
seringaimu tak selama
ada gerimis di pantai
tengahharimu membadai .

Wajah kusut masai
tangis dalam kecewa
nubari membait cerca
jika tunas kesabaran hilang
kesumat dendam mendalang
iman berbolak balik
sorong atau tarik.

Nafsu memerintah
jasad berleluasa
iman membentuk perilaku
andai tak terkawal
bermula akhir dari awal.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
29 Jun 2013
9.14am

LAKARAN HATI


Benar katamu
lakaran hidup kita punya sejuta warna
merah,hijau,putih,kuning
membatik nubari kita yang bening
tanpa sedar
kita melakar laksana pakar
menyeri hati sendiri.

Di sini
kita melukis abstrak jiwa
gambaran hasrat jauh berbeza
kalau hitam bagimu menawan
biru syahdu hatiku tertawan

Di situ
kita tidak pernah ragu
atau peduli pada keliru
kerana kita berdiri seadanya
sebagai manusia
yang terbeban dan membeban
dan kita berhak bermimpi
menjadi insan sejati.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
26 Jun 2013
3.03 pm

BIARKAN AKU


Engkau tidak mengerti
bila larut di dalam diri
dan membait kata puisi
sedang ungkap bersahajamu
tanpa sedar
ada mutiara yang bersinar
menjadi kalongan jiwa
pada aku yang tak punya
dan kosong di dada.

Biarkan saja
kalau aku ingin menilik
pada timbunan permata
memilih yang indah-indah
mencanai secara seni
dari manikam
yang kilau cahaya
untuk menyeri hiasan
di dalam puisi.

Andai ternobat
di dalam galeri
sekurang-kurangnya
aku tidak lupa diri
menjalani mimpi
bagai sang puteri.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
25 Jun 2013
1.09 am

SEPOHON AKU

Pepohon itu
seperti akukah
tidak lagi mampu melindung
kala mentari menyimbah kejam
taufan menghujam dalam diam
walau rimbun dedaunku
redup yang terbawa
menggelap pandangan
menggegar kekuatan.

Meski tegak mencengkam
akar kukuh menggenggam
di tanah gersang
reranting menjulai
menyeri putik kasihku
namun hampa
semarak kuntum gugur juga.

Namun sesekali
sekah di dahan
luka tersiat
siapa tahu pedih lara
dipangkas masa
sementara teras mula mereput
hijau daunan menyusut
kuning melayu
disapa angin menderu.

Pepohon pun terkulai
perit dan nyeri
bila tumbang
menyatulah dengan bumi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
23 Jun 2013
4.55 pm.

MAWAR BERDURI


Rendang subur
adalah wangian budi
mengembang biak
menjadi genggaman
pada pohonan duri.

Mawar tetap berkembang
di tanah lapang
siraman dingin
membaja
pada tanah gersang
memberi hidup
laksana taman
di hujung laman.

Harum semerbak
tersendiri
di hujung julai
mawar melambai
ditusuk onak
tangan tak capai.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
16 Jun 2013
10.58 am

RINDU ASMARA

Jika sayang
ada bayang
mengekori gerak 
rindu asmara
adalah nadi
dalam rasa
dalam dada.

Jika rindu
ada sendu
memedih lara
asyik pesona
mengikat jiwa
ada dia
ada cinta.

Bayu berbisik
kasihnya  berputik
kembang terhalang
mekar di jambangan orang.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
16 Jun 2013
12.52 am

DERITA KE HUJUNG SENJA



Merenung sejenak
keindahan mimpi
pada lena yang panjang
seorang lelaki tua
keluhnya berbicara
ada titis bening di mata
keharuan yang sia-sia.

Maruah diri terbakar
hasrat hatinya tercalar
kesabaran bagai dicabar
nubari menyimpan gusar.

Kalau dulu
anak-anak dan isteri
ditatang laksana minyak
di ikuti segala kehendak
namun jiwanya dihenyak
harapan diinjak-injak
hatinya dibelah
duka membarah.

Biarlah
di penghujung senja ini
terbawa segala derita
walau lelah bermimpi
namun pasrah di dalam sepi
andai takdir telah menyurat
ada hikmah sedang menyirat.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
12 Jun 2013
9.51 am

MENTARI SENJA

Di lembah duka
seorang ayah tersenyum kelat
seraut wajah punya segaris kecewa
dek kasih tak terjerat.

Mentari hidup kian samar
petanda senja di penghujungnya
perdu harapan tempat bersandar
telah lama dimamah
anai-anai penantian
hanya airmata
sebagai penenang lara.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
12Jun 2013
6.34 pm

OLAK

Sekian lama
aku berlindung
dari hujan dan panas
bila tiupan angin
kadangkala menghumban
terlepas dari pautan
aku pun mengejar
payung yang carik.

Kini dapatkah lagi
mengharap naung
bila payung kian koyak
gerimis membasah jejak
terikan mentari
menikam diri.

Apa yang pasti
kesendirian melangkah
lebih mengundang
keselesaan berlenggang
dan ada ketikanya
lebih terpanggil
memesrai alam.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
8 Jun 2013
5.42 pm

PAYUNG

Sekian lama
aku berlindung
dari hujan dan panas
bila tiupan angin
kadangkala menghumban
terlepas dari pautan
aku pun mengejar
payung yang carik.

Kini dapatkah lagi
mengharap naung
bila payung kian koyak
gerimis membasah jejak
terikan mentari
menikam diri.

Apa yang pasti
kesendirian melangkah
lebih mengundang
keselesaan berlenggang
dan ada ketikanya
lebih terpanggil
memesrai alam.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
8 Jun 2013
5.42 pm

SERPIHAN KACA



Engkau minta padaku 
sekeping kaca
buat bercermin
menghias muka.

Aku tidak dapat memberimu
serpihan kaca
yang telah retak seribu
bila serpihannya
melukakan wajahku.

Telah ku buang jauh
segala kenangan
yang membias di cermin
lakaran wajahku
memantul di tiap penjuru.

Carilah cermin yang kukuh
andai engkau ingin menyuluh.
bila wajahmu nampak berseri
tiada terlihat pedih peri.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
7 Jun 2013
12.15 am

DERAIAN MUTIARA

Aku tersangat lelah
mengutip mutiara
yang berderai
dari kalongan
penambat jiwa
pengikat mesra
antara kita.

Akukah yang salah
merindu bintang
di kelam malam
lalu tanpa sengaja
memutus kalongan
derai di kaca
tak memberi makna.

Mampukah aku
merantai kembali
deretan mutiara
seindah dulu
atau kubiarkan saja
mutiara berkilau
lusuh di kakimu.

Aku tahu
bila ada tangan yang lain
sedang menanti
mengutip dan membelai
mutiara milikmu
lalu engkau rangkai
untuk kaukalongkan
ke leher jinjangnya.

SRi MAWAR
Kuala Kurau
Perak
4 Jun 2013
1.12 pm

MIMPI PUNGGUK

Bila langit seringai
menyapa awan
suara guruh membelah bumi
lantang berpesan
mentari tak selamanya bersinar
bila ia menangis
angin pun sedih
gerimis mengundang
burung berhati walang.

Engkau lupa
asyik mengibar kepak
jelajah benua
mencari syurga
tak pernah ketemu
hingga senja bertamu.

Malam tiba
purnama bercahaya
pungguk membelai rembulan
rindu menyelam angan
khayalan manis
bintang menyinis.

Bila mimpi
hanyalah sebuah cerita
pasti pungguk berhati hiba.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
3 Jun 2013
11.27 pm

TIADA LAGI PERSINGGAHAN

Tegar di ranting
sarang masih utuh
meski sedikit carik
usang menyimpan rahsia.

Janganlah camar
mengoyak luka
tampalan robek
reput menanti masa
andai paruhmu meragut
kasar menyusut.

Jika sarangmu gugur
tiada lagi persinggahan
terbanglah ke saujana pandang
mencari di hujung padang.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
27 Mei 2013
11 .20 am

INDAHNYA MADAH (1)

Bertih rendang ubat sendawa
kendi suasa di perdu meranti
kasih dan sayang hambatan jiwa
budi dan jasa murni pekerti.

Almari kayu ringan dan padat
berseri kasa menghias kereta
budaya melayu junjungan adat
peri bahasa berkias kata.

Tanah berpaya di tanam kedangsa
ketupat jagung berdaun palas
khazanah budaya warisan bangsa
adat di junjung budi di galas.

Kebaya cantIk berona merah
bertatah renda pakaian sutera
tinta melirik kata bermadah
indah bahasa mainan sastera

Hendak pergi ke luar kota
surat tertulis cinta si dia
harum mewangi tutur dan kata
pengikat kasih tulus setia.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
23 Mei 2013
6.45 pm

DI BATAS MIMPI



WARGA EMAS


Kalau pernah dia tahu
apa ada dalam dadamu
takkan terbiar dedalu merakap
tersimpul kasih tumpang mendekap
bila pohonan harap tegak merimbun
dedaun kasih hijau meruntun.

Kalau pernah dia tahu
hatimu berbunga mesra
kuntum kasih menyeri cinta
takkan terhidu bau yang lain
semarak racun di hujung ranting
bila itu cuma pemusnah
bagai reput diam memamah.

Kalau pernah dia tahu
kasih padamu tidak bercabang
mengapa perlu pohon ditebang
andai bercambah tunas rindu
belailah ia jangan dilayu
walau seribu kupu-kupu merayu
takkan terlupa manis madumu.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
6 Mei 2013
10.18pm.

KALAU PERNAH DIA TAHU


Kalau pernah dia tahu
apa ada dalam dadamu
takkan terbiar dedalu merakap
tersimpul kasih tumpang mendekap
bila pohonan harap tegak merimbun
dedaun kasih hijau meruntun.

Kalau pernah dia tahu
hatimu berbunga mesra
kuntum kasih menyeri cinta
takkan terhidu bau yang lain
semarak racun di hujung ranting
bila itu cuma pemusnah
bagai reput diam memamah.

Kalau pernah dia tahu
kasih padamu tidak bercabang
mengapa perlu pohon ditebang
andai bercambah tunas rindu
belailah ia jangan dilayu
walau seribu kupu-kupu merayu
takkan terlupa manis madumu.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
6 Mei 2013
10.18pm.

DURI RANJAU PERJALANAN

Tamatlah sudah peperangan
berpegang teguh pada keyakinan
semboyan peniup semangat
bersama restu dan matlamat
tiada tragedi terpahat
bernafas lega
pada getusan teruja.

Tapi andai terguris luka
itu sekadar gelora
pada detik perjuangan
yang perlu difikirkan
adalah penyatuan
dalam jernih persaudaraan
bersatu menentang musuh
yang berselimut menyimpan rusuh.

Insaflah duhai anak -anak
mudamu jangan beronak
rentas duri ranjau perjalanan
biar maruahmu kukuh di genggaman.

Ini hak kepunyaanmu
negeri ini tanahairmu
andai diregut beralih tangan
terdiamlah engkau di bawah kekejaman
tidak lagi dipertuan
dan suaramu itu
hanyalah desahan kecil
yang bergetar tidak lagi memanggil.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
5 Mei 2013
10.38 pm

KORBAN


Kalau perlu kutoleh
merenung kembali masa silam
terasa jiwa tersangat kejam
menidakkan keinginan sendiri
merejam segala mimpi
lalu berenang di laut payah.

Kalau perlu kurenung
menyesali memaku bumbung
pada sebuah rumah kosong
meski berisi penuh
namun tirisnya teramat jenuh.

Demi hidup
dan korban dari sebuah kerelaan
lelah keringat tidak berharga
tidak bertamu di pintu syurga
apalah daya diri
bila cinta mainan hidup
duka lara perlu kuhirup.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
2 Mei 2013
3.36pm

SAAT MALAM


Pergilah
bila mentari di hujung senja
tidak membias rona bahagia

Saat malam
langitku kelam
engkau sentiasa menanti
kejora mengintai di malam sepi
bila pungguk memujuk bulan
cemburumu mula merawan.

Dapatkah
purnama melangit tangan mengapai
hasrat menggunung jejak tak sampai
sedang kakimu menapak tanah
beronak duri memunggah nanah.

Kini
teratak sepimu kian roboh
engkau mengintai gemuruh guruh
andai angin angkara membadai
mimpimu layu patah terkulai.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
30.April 2013
1.22 pm.

BIARLAH


PANTUN MENGUNDI

Bawa bagasi menuju kereta
bangkai terperap semut melata
negara demokrasi naungan kita
bagai mengharap cahaya pelita.

Kata sendi dalam ejaan
bentuk bacaan berbait garapan
kita mengundi tentukan kerajaan
untuk kesejahteraan di masa hadapan.

Belilah pulasan yang merah bara
berangan dikalih goreng segera
undilah Barisan Nasional peneraju negara
jangan dipilih pembuat angkara.

Tika terbayang nasi kenduri
lauk enak keli berkari
jika sayang generasi sendiri
elok bijak mengendali diri.

Ukir kayu bercampur rotan
pinggan bersepai berat muatan
berfikir dulu itu pendapatan
jangan sampai berkerat rotan.

Kota Melaka ada A Famosa
liar menyerudup si itik angsa
kita bersaudara sama sebangsa
biar hidup sama selesa.

Tika singgah membeli betik
ubah laci berisi plastik
jika bercanggah fahaman politik
usah benci dibiar berdetik.

Bengkaklah mata digigit lipan
ubatkan dulu buat penahan
samalah kita beradap sopan
ingatlah selalu kuasaTuhan.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
24 April 2013
12.56 am

PANTUN MENGUNDI


PANTUN MENGUNDI

Bawa bagasi menuju kereta
bangkai terperap semut melata
negara demokrasi naungan kita
bagai mengharap cahaya pelita.

Kata sendi dalam ejaan
bentuk bacaan berbait garapan
kita mengundi tentukan kerajaan
untuk kesejahteraan di masa hadapan.

Belilah pulasan yang merah bara
berangan dikalih goreng segera
undilah Barisan Nasional peneraju negara
jangan dipilih pembuat angkara.

Tika terbayang nasi kenduri
lauk enak keli berkari
jika sayang generasi sendiri
elok bijak mengendali diri.

Ukir kayu bercampur rotan
pinggan bersepai berat muatan
berfikir dulu itu pendapatan
jangan sampai berkerat rotan.

Kota Melaka ada A Famosa
liar menyerudup si itik angsa
kita bersaudara sama sebangsa
biar hidup sama selesa.

Tika singgah membeli betik
ubah laci berisi plastik
jika bercanggah fahaman politik
usah benci dibiar berdetik.

Bengkaklah mata digigit lipan
ubatkan dulu buat penahan
samalah kita beradap sopan
ingatlah selalu kuasaTuhan.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
24 April 2013
12.56 am

SERIBU SESALAN

Jangan pernah mengharap
sinar bulan sentiasa gemerlap
kala kelam menjemput hujan
bila petir menyambar
tersentak diri membawa sedar.

Jangan pernah meminta
rindu terbiar meronta
andai bertatap mata
janji tinggal kata-kata
walau pernah mesra bicara
namun hati bersalut dusta.

Jangan pernah merayu
pada pandangan sayu
bila segalanya palsu
seribu sesalan bercermin diri
berjauh hati tiada bererti
bila kedudukan tidak selari.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
21 April 2013
3.09 pm

MEMBEKU RASA



Aku tidak lagi merasa
terbeku dalam pancaindera
dan jangan salahkan aku
andai tidak berjiwa
padamu hambar segala.

Kalau dulu
hatimu sejernih salju
damai menyusuk
setia memujuk
kita menjadi uda dan dara
merangkai mesra setiap ketika.

Punah sudah
mimpi menjadi api
sanubari hangus terbakar
airmata bukan penyiram
menyemarak sejuta dendam
bila cinta tidak lagi tertuang
relalah aku engkau menghilang.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
18 April 2013
9.12 am