Jumaat, 6 Jun 2014

SEORANG IBU TUA DI HUJUNG DESA

SEORANG IBU TUA DI HUJUNG DESA

Retak wajahnya
kelam sinar mata
ketaran jari jemari
kenangnya ingat-ingat lupa
senyum tersipu
merenung mencari siapa
itulah wajah usia seorang tua
di hujung desa.

Kala diri dikunjung
indahnya bagai disanjung
anak-anak menyergah
sanak saudara mengagah
sahabat tertawa gah
mulutnya riuh melatah
lelah
terlupa susah payah.

Itulah kebahagiaan
menjadi seorang tua
mengukir hayat mencari maknawi
dalam sebuah kehidupan
biar mati tak menjadi beban

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak..

Siaran Harian Metro 16 April 3013

Isnin, 6 Januari 2014

BADAI HIDUP

Tidak terucap dengan kata-kata
pedih tusukan sembilu duka
waktu kita masih bersama
merejam aku dalam sengsara
meruntuhkan mahligai impian
engkau putuskan talian kasih
sedang anak dalam susuan
engkau rentap jauh tersisih.

Kini aku berlayar sendiri
tanpa nakhoda
bila takut merentas lautan
gelombang hidup menakutkan
dapatkah menjinak ombak
andai badai sentiasa bergolak.

Kalau dapat
hidup ditenun indah
dari tangan insan budiman
inginlah aku
turut menjadi hamparan
menyulam bunga senyum
menghiasi mahligai bahagia
tanpa duka dan airmata.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
26 Dis 2013

BILA CINTA





Jangan lara kerana cinta
itu bukan penyudah bahagia
andai diturut gelora rasa
pasti jiwa dalam derita.

Cinta itu suci dan murni
walau bersatu tidak pasti
andai diri saling mengerti
cinta sejati kekal abadi.

Bila cinta menawar rasa
antara suka dan duka nestapa
jangan diturut nafsu membara
usah merana kerana hampa.

SRI MAWAR
KualaKurau
Perak
27 Dis 2013

BUNGA HARI







Baru tadi engkau pergi
2013
tidak mungkin kembali lagi
namun sisa -sisa kelmarin
masih berbekas menjadi kenangan.

Dan hari ini
2014
bermula langkah perjalanan
apakah sehebat dulu
atau masih kekal membeku.

Bila semuanya takdir
tiap sesuatu menjadi ilusi
berbunga harapan
menjadi impian
sebelum nafas terhenti
do'a kudus tetap mewangi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak.
1Jan 2014




ENGKAU YANG HILANG




Tersentak dari igauan
kelu kata-kata
semua sudah berakhir
dia pergi menjejak takdir.

Masih ada janji
yang belum lunas
buat rimbun bertunas     
maafkan
andai diri tidak layak
berlari mengikut jejak.

Engkau yang hilang
mematikan semangat
harapan terbeku
tidak mampu mencari
sejuring cahaya
dalam suara dan karya.

hanya engkau yang mengerti
kematian melupuskan mimpi
dan aku pun tertutup bicara
sepi dan tak berharga

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
4 Dis 2013



MARAK API

Semarak api
kadangkala membakar diri
mengundang hangat
panas menyengat kulit
mata sakit memandang
bahang mengundang pedih..

Siapakah yang sudi menjirus
padamkan api dendam
dalam diam jengkil terpendam
jika sekadar menambah wap
bertebaran kepulan asap
hitam menjulang
debu nista bertaburan
biarkan ia menjadi bara
letih menyala menjadi arang
menconteng ke wajah diam.

Hati yang liar
bila sukar ditawan
biarkan saja berkeliaran
lepaskan saja keluhan sendiri
simpankan duka di lubuk hati
anggap harapan hanyalah mimpi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak..
26 Dis 2013

BAHAGIA


Kita sedang bahagia 
tanpa ada keraguan
menanam pohonan cinta
membiak menjadi ladang
kuntum kembangnya kita cium
aroma kasturi mengharum..

Kita pernah luka
dalam arus sengketa
dan darah merah melimpah
dari aspal hati
yang memercik benci.
lalu muhasabah diri.

Kita pun mengapai
keindahan dalam harmoni
melupuskan jengkil hati
memungut kasih sayang
merentasi titian hidup
kebahagiaan kita hirup..

Tiada lagi sukma membarah
dalam redha dan pasrah
kita merenung kekhilafan
buang jauh –jauh
debu keliru masa lalu
menjernihkan noda rasa
melupuskan sengketa.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak.
25 Dis 2013.

ULANG TAHUN PERKAHWINAN 2013

APA DOSAKU ,IBU




Engkau benci aku
lalu terbuang bagai sampah
tak berharga
tiada daya tangan mengais
serangga melata mengigit
dingin angin mengelus kulit
aku sakit , lapar.

Engkau ingin membunuhku
meletakkan aku di pinggir jalan
kalau saja ajalku sampai
dalam trajis nyawa tergadai
puaslah hatimu
aku terhimbau
bahana nafsu melampau.

Salah akukah?
menumpangi rahimmu
mencipta dosa
dari kebencian ayah ibu
hingga kering telaga cinta
aku tidak berhutang air susumu.

Jangan salahkan aku
andai sumpah tertumpah
engkau akan melarat
laksana musafir sesat
dan aku anak keparat ini
tidak akan mengenalimu
lantaran aku terlahir
dari rahim seorang binatang
yang bertualang menjalang.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
11 Dis 2013

sajak yang tersiar di akhbar mingguan malaysia ahad.

KELUARGA BAHAGIA

Anak penyubur kasih dan sayang
jadi penyimpul ikatan hati
sedang berjauh asyik terbayang
bahagia berkumpul anak dan isteri.

Isteri pendorong ketabahan diri
cahaya mata penguat semangat
Rumahtangga bijak dikendali
walau ke mana sentiasa ingat.

Alangkah tenteram beristeri mithali
suami beraja bagai khalifah
porak peranda tidak sekali
rumahtangga tersangat indah.

Andai beristeri laksana khadijah
peribadi suami seteguh Rasulullah
pasti hidup mengukir sejarah
dapat pertunjuk kasihnya Allah.

Tapi kita manusia biasa
mudah lupa menjaga hati
serahkan saja pada Yang Esa
asal beriman Allah perhati.

Kita berdo’a siang dan malam
punyai anak permata terpilih
pasti hidup aman tenteram
tidaklah jiwa asyik merintih.

Andai anak elok di didik
penyejuk hati pandai berbakti
dapat terlahir anak yang cerdik
mengharum nama laksana melati.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
12 Dis 2013

AKU PUN

Aku pun
letih 
mendongak langit
mencari bintang
dari janji malam
tapi tetap kelam
bila mendung terbit senja .

Aku pun
tunduk
menatap bumi
mengais khazanah
dari janji tanah
tapi tetap membenam
bila telapak meletak jejak.

Aku pun
memikir
lepaskan segala
khayalan palsu
dari rasuk memburu
tapi tetap terbeban
bila perit memegang harapan.

Sesungguhnya
menjadi aku
harus kuat
mencari diri
bukan terhumban
pada munafik keduniaan.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
7 Dis 2014

SELAMAT JALAN

Hari ini aku hilang engkau
menyelinap senyum dari raut wajah
dalam bayangan 
mencari dirimu yang kelmarin.

Engkau pernah menangis
kala lukamu membarah
cerita malang
diolah pertualang.
dan degup jantungmu
telah lama terhenti
memandang dunia
dalam relung kosong.
dan sepi pun mengigit
dalam sakit dan perit.

Selamat jalan, kawan
hari ini segalanya sunyi
tenanglah engkau
titik-tiitk hitam tiada lagi
rindu pun mengamit
dalam hujan rintik-rintik.
di peraduan yang panjang
engkau di sambut
kekasihmu yang dulu.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
6 Dis 2013

DIDEKASI BUAT ALLAHYARHAM MAIKALTHOM.(Kak Som)

JALAN PULANG

Aku akan pergi 
dengan putih hati
tanpa ada ragu
atau cebik cemburu.

Aku harus menghitung
detik yang berlangsung
merenung putih mata
dalam putus asa.

Aku pun mencari
nikmat cinta Ilahi
walau susah payah
gelodak jiwa pasrah.

Aku ingin bahagia
tenteram dalam jiwa
tiada rusuh resah
hidup dalam fitrah.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
6.Dis 2013

ELEGI




Mengait bebenang malam
dalam pahit menyulam
menusuk mimpi manis
hitam tiada celah
sinar tidak menyerlah.

Merenda tenunan masa
mencarik helaian mimpi
dalam satu elegi
ternyata malam hanya diam
tidak perlu memintal angan.

Lepaskan saja
bila khayalan jadi ngeri
aksara jiwa tidak tersingkap
tabir rohani menyerkap
bicarakan pada bulan
ada gelap di lingkungan hati.

Terbit fajar
membunuh igauan
simpankan rindu
meski sedikit lelah
tersedar dari lena
pagi pun membasah.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
4 Nov 2013

IHSAN


Aku intai titik cahaya
dari relung sinar matamu 
lalu kukutip segenap rasa
dari biru warna cintamu.

Aku meraup pedih sukma
dari luka dalam dadamu
lalu kupujuk resah hiba
dari tusuk sembilu rindu.

Aku himpun do’a munajat
dari ihsan Rabul Izzati
lalu kupintal lirih kusyuk
dari bahagia restu buatmu.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
3 Dis 2013

MADU CINTA


Kekasih,aku menunggu
bersama buah- buah rindu
lalu memuja
kerdip bintang
gemerlapkan jantung kalbu.

Kalau ada ihsan
dari cahaya cintaMu
dakaplah aku
sekuat-kuatnya
jangan lepaskan
kerana aku takut
jatuh ke lembah hina
karam kelemasan
di mimpi berahi.

Aku ingin meneguk
madu cinta
dari asmaMu
dari geluk takwa
sepuas-puasnya
lalu rindu tenggelam
ke dasar hati
mengalir di urat nadi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
2 Nov 2013

BUNGA SYURGA

Kerana Engkau kekasih
yang awal dan akhir
kupanjat do’a
mencium bunga syurga
yang engkau janjikan
di sepertiga malam.

Aku ingin
menumpah setia
dalam pelukan
biar tersungkur
hancur dan lebur.

Hangus terbakar
asa bergetar
zikir hilang
lalu menjadi cahaya
zat yang Esa.

SRI MAWAR
Kuala kurau
Perak
2 Dis 2013

DAIRI HIDUP


Dari jauh renungan
ada tatap mengungkap
bagai bercerita
sesaknya nafas hidup.

Dari usap dada
ada resah tertancap
bagai membelenggu
pedih pilu jiwa.

Dari jernih airmata
ada kisah dukalara
bagai memesan
usah menaruh harapan.

Dari keluh kesah
ada risau mengalau
bagai penyesalan
menanggung sejuta beban.

Dari pejam mata
ada detik kehilangan
bagai memesan
hidup ini pinjaman.

Dari batu nisan
ada kuburan insan
bagai pertanda
akhir sebuah kehidupan.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
29 Nov 2013

AKU INGIN



Aku ingin mencari
kata dua dari seribu bicara
entah apa yang tertancap
dari sinis nada terungkap
kukutip untaian makna
bertaburan
menyerpih jiwa.

Aku ingin merenung
di kerdip bintang
silau harapan
entah apa yang menyinar
membias ke wajah malam
kuintip makna suram
melingkungi diri
meresapi sunyi.

Aku ingin berteriak
menyeru angin
memadam resah
mengalih gundah
lalu bayu pun datang
mengusap kalbu
menghilang buntu.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
26 Nov 2013

SUATU PAGI

Aku menjadi pemerhati
di Dewan Psiaktri
suatu pagi di Hospital Taiping
melihat gelagat
mundar mandir
ketawa terbahak-bahak
desing menggelegak
diam membungkam
senyum memanjang.

Aku duduk di bangku
mengelamun menunggu
angka giliran
ada risau yang tebal
kecamuk jiwa
berbisik teka teki
membayang tragedi

Aku terkedu
ada haru di dada
mendengar sapaan
lelaki tua berkaca mata
” Tanjung Rambutan
lu ada pigi ka?
satu hali ampat kali makan
manyak syiok ho... ”
seringainya menunggu jawapan.

Aku mengangguk
berbasa basi mencari erti
menatap bening matanya
dan imagiku
melakar cerita
duka laranya yang tersimpan.

Seandainya
orang mencari bahagia
cukup dengan makan yang teratur
dengkur tertidur
hanyut dalam halusinasi
lebih indah menjadi gila
tanpa perlu memikul beban
dari menjadi manusia sempurna
yang gila dalam kuasa
lupa mencanai rasa.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
27 Nov 2013

RAJUK SUKMA

Terbisukah suara
dalam getar ingin berbicara
bagai ada rasa terkilan
rajuk sukma makin menahan.

Di mana kalam
dalam berbisik ternyata diam
bagai hilang tutur dan kata
saat hati ingin menyapa.

Aku tidak lagi
memuja-muji
mengharap untaian puisi
merangkai lembaran hari

Entah kenapa
beku di dalam dada
tidak mampu melakar
walau benak kian mencabar.

Kasihku abadi
meski menyendiri
bila rindu tertumpah
jeliranya membasah.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
15 Nov 2013

MENDUNG

Kadangkala ribut melanda
bukan petanda hilang bahagia
ada cendawan bakal tumbuh
ada pelangi indah sungguh
di senja hari
mimpi ngeri tiada lagi
kerana malam sedang menjelang
sinar bulan pasti mengambang.

Namun bagaimana
andai pelangi menata malam
pasti tersembunyi di sebalik kelam
indah rona tidak tertatap
bulan tidak lagi gemerlap
mendung hujan berkirim salam
kejora tidak berkelip
petir sesekali mengenyit
lara pungguk rindu mengintai
hasrat memuja tiada tergapai.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak.
4 Nov 2014

MUHARRAM


Pergilah hari dengan sejuta dosa
rintih dan keluh kelmarin
biar hilang ditelan masa
dan esok yang datang
ingin kutatang dengan iman
penuh tawadduk dan keberkatan.

Muharram
beralih hari
usah lagi berpedih peri
12 bulan kujejaki
dalam gundah
resah gelisah
bila segalanya mengajar
rindu tak terkejar
di sesat alpa..

Aku ingin
esok yang bermula
ada do’a menguja
pengisian lebih bererti
tidak lagi terlewati
dan segala yang mungkar
tidak lagi menyasar.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
9.38pm

RIBUT DI HUJUNG SENJA



Dentuman guruh
menghancurkan
segugus mimpi
dari tidur nyaman
lalu bertebaran.

Panahan petir
membakar
segenap khayalan
dari cebis harapan
tidak kesampaian

Tiadalah aku menunggu
titis hujan
membelai rawan
hanya terperangkap
nyilu di perasaan.

Dapatkah aku
mengutip pelangi
di gigi hari
bila ribut di hujung senja
mengharu ke tebing usia.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
4 Nov 2013
2.40 pm.

WALAU MIMPI RETAK SERIBU


Walau mimpi retak seribu
sakit hati badan terasa
dendam terpendam memamah kalbu
bagai racun menambah bisa

Bila diri sudah mengerti
jangan dirawan diri sendiri
usah diturut rasanya hati
kelak sesal memakan diri.

Waktu luka pedih sekali
bagai nyilu tertusuk peniti
andai tertulis di dalam azali
suka duka silih berganti.

Andai hidup tiada berteman
sedih dan sayu rasa terkilan
andai diri bersandar iman
tabah selalu mengiring jalan.

Biar diri memberi maaf
takdir tersurat rela terima
bila sedar diri terkhilaf
usah di ingat derita lama.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
24 Oct 2013
8.51 am

IMAGI

Bagaimana kalau bulan tidak lagi bercahaya
lalu matahari senyum di malam gelita
kalau angin berhembus panas 
mengasap liang roma yang tegak
atau kita menapak di langit
tidak kaki menjejak bumi.

Pernahkah imagi menjangkau
andai dunia boleh digenggam
lalu tangan menghempas
melihat beburung merayap
dan lipan terbang di laut dalam
atau hati dapat dibasuh
hasrat nyata tiap ketika.

Kalaulah hari dan waktu dapat berhenti
dan kita pun menyusun kembali
sedemikian sempurna.

Janji yang terlupa
mimpi yang terjaga
hasrat yang padam
puisi yang tertunda

Dan kita pun menjadi orang
tidak lagi memburu bayang
dari sekecil hama
benar- benar menjadi manusia.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
26 Sept 2013
11 23.am

HAYAT


Kita mengisi
dari pagi ke senja
memandang wajah alam
indah atau mendung
bercerita tentang hari
membilang bilah pelangi pelangi
atau karam di muara hati.

Tika malam
bercinta dengan rembulan
atau bermuram durja
andai purnama enggan bercahaya
bila mata terpejam
mimpi jadi hilang.

Sendiri
tidur yang panjang
berbunga harapan
atau kehilangan senyum
bila layar hayat sedang dikembang.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak.
22 Sept 2013
9.10 am

SEMEMANGNYA

memang resah sering membelah
bagai pecah jantung kalbu
tetapku teguh mengikat hati
jangan sampai terburai nyeri

memang sepi sering bertamu
walau riuh di dalam sunyi
tetap cekal sukma menentang
jangan luluh di dalam dendam

memang kosong sering meruang
meski penuh di dalam jenuh
tetap tenang mengusap dada
jangan gementar mengoyak luka

aku tidak lagi bermusafir
sampai ketika melangkah pulang
menyongsong jejak ke daerah permai
di pintu damai kasih membelai

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
18 Sept 2012
11.11pm

ENGKAU SEGALANYA


engkau
tidak bercerita
menyulam budi dalam bicara
aku yang merasa
terbuai asyik mencari makna
dalam rahsia seribu kata

engkau
semerbak harum
dari aroma bunga sekuntum
walau tidak berwarna
terindah di antara bunga.
meski tiada di taman
tetap menyeri jambangan

engkau
sekeping lantai
datar melandai
tempat berpijak
di bumi nyata
walau pernah
dilanda gempa

engkau
percikan api
memancar seri
mengatasi pelangi
di malam hari
bagi diriku
yang kehilangan mimpi.

biarkan saja
bunga jadi layu
kata jadi bisu
lantai jadi debu
api jadi biru
asalkan engkau
memberi ilham kepadaku.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
18 sept 2013
4.40 pm

BICARA TENTANG PUISI

Bila puisi adalah perwatakan
memandang dengan halus jiwa
ada bahagia dan duka lara
di jalan hayat
kita jadi pengamat
meneliti dan menyeka
airmata yang tumpah
atau bait-bait sampah
dalam nafas dan madah.

Namun setiap yang tercoret
punya sejarah yang terungkap
atau bercerita tentang trajis
menghiris luka pedih
atau melakar bunga
tentang cinta
menghiasi dada.

Puisi
adalah abstrak hati
bicara budi
pencarian dalam hakiki
pengisian maknawi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
18 Sept 2013
2.33pm

PUISIKU CARIK

puisiku merapu
mengarut
melata-lata
tak berjejak di bumi nyata.

harapan melangit
sedang puisiku sejemput
buat cacing kelaparan
tak terbawa ke awan-gemawan.

bila angin berhembus
puisiku carik
lesap ke lembah bisu
lenyap di telan waktu.

puisi adalah lautan
bisa di sukat
namun kedalamana perasaan
hanya Dia yang mengerti.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
18 Sept 2013
10.26 am

JAUH TAPI DEKAT


Bila hati terasa kelat
sakit di dada terasa nyeri
jika hadir tiada terlihat
elok menyepi muhasabah diri.

Bila bulan tiada di riba
jangan jadi pungguk menanti
usah diturut merawan hiba
sayangi diri lebih bererti.

Andai kelibat tiada bertamu
kenang di mimpi bagai menyeru
janganlah rindu bertukar jemu
do’akan saja di angin lalu.

Entah kenapa cinta hadir
membuat jiwa jenuh terikat
andai jodoh digenggam takdir
walau menjauh makin mendekat.

Hilang kasih sepi terasa
duduk termenung sambil berduka
jika ditusuk duri berbisa
carikan saja penawar luka.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
14 Sept 2013
12.08pm

MENILIK HATI

MENILIK HATI

Sukarnya menilik hatinya orang
entah berbisa duri tertanam
bila budi nampak terpandang
kasih pun hadir di dalam diam.

Pintu ukhuwah luas melebar
kasih dan sayang tidak terpadam
tulusnya hati menyimpan sabar
tiada amarah melupus dendam.

Pekerti nan indah elok bersemayam
dipuji sanjung tidak terperi
ikhlas dan santun budi dianyam
jauhi laku pedaya diri.

Jika memuji pesona hanya
untuk membuat jiwa selesa
bila wasangka membuat aniaya
pasrahkan saja pada Yang Esa

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
13 Sept 2013
7.33 pm

Ahad, 5 Januari 2014

KILAU SINARAN

KILAU SINARAN

Andai benar kasih belaian
tidaklah hati rasa terkilan.
walau diri bukan berlian 
tetap berkaca memancar sinaran.

Kata dan tutur bagai manisan
bagai meneguk madu di telaga
meski sekadar kaca hiasan
tetap bercahya indah terjaga

Gilapkan hati bersih disental
jernih berseri rasa teruja
bila kaca umpama kristal
tetaplah hati asyik memuja.

Jiwa merana membawa lesu
jangan diturut membuat sebu
biar mutiara sekadar palsu
indah kilauan memukau kalbu.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
13 Sept 2013
6.00 pm.

SEMARAK API

SEMARAK API

Bila bulan tak lagi bersinar
jerami terbakar membuat onar
percikan bunga api
menyemarak seri
kita pun terleka
di julang megah merdeka.

Di sebalik keindahan
asap berkembang menular
tak siapa sedar
itulah permulaan
pada bencana dan kemunsnahan.

Sanggupkah bergelut
mencari punca
menghalang sengketa
di kelam malam
sedang hati menyubur dendam.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
13 Sept 2013
4.54 pm.

RETAK CERMIN

RETAK CERMIN

Aku berdiri tanpa bicara
menjadi cerminan pada luapan dendam
diejek dengan seribu laku
senyum sinis
tertawa gila
semburat benci dan jelingan iri
bayangan mereka tetap memantul.

Mereka selalu lupa
cerminku membias wajah
meski retak seribu
pantulan bersendiwara
adalah aksi dari gerak laku
mengarcakan hati budi
dan nilaian rohani

aku tetap sendiri
memerhati
biarpun jengkil
tetap menyimpan ragam
menilai dalam diam
pengakhiran sebuah dendam.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
12. Sept 2013
6.31 pm

WARNA HATI

WARNA HATI

bila tidur berbantal mimpi
biar senyum atau ngeri
saat terjaga di basahi embun
harapan menjelma di sebalik kabus
di talian hayat
ada bahagia sedang meniti
memanjangkan hari.

kita dapat mengutip
butir –butir hakiki
menyusun bilah-bilah pelangi
mewarnai hati
andai kita mahu memilih
di antara puing-puing janji
selaras kemahuan Illahi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
12 Sept 2013
12..03 am

HUJAN

HUJAN

Kutunggu saat malam jauh melabuh
melihat bulan kembangkan sinar melatari awan
sedang embun mengucup rumput dan dedaun basah
ada rindu saban malam ingin diusai
lalu mentari pagi tiba melangsaikan mimpi.
kita pun melerai janji.

Matahari bersinar galau
melayukan dedaun
 saat telaga cetek sedang mengering
keringat pun jenuh
saat harapan makin luruh
bilakah dahaga akan berakhir
untuk melihat senyummu terukir
kala sepoi dingin mula berhembus
di lembayung senja berarak kabus
tak mungkin pelangi bakal tiba
kerana malam mula menyapa.

Aku tak lagi menanti embun menitis
melihat hujan turun makin menderu
dinihari membuai lenaku
gersang tanah tersenyum mesra
kembang bunga tak lagi berhiba
bila petir sesekali mengenyit
tidak lagi sepi di langit.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
10 Sept 2013
10.46 pm.

PERNAH DULU

PERNAH DULU

kalau dulu 
hati kita pernah kembang bagai bunga
di telapak hari tetap mekar memberi makna
walau di ranjau berduri
rembasan melukakan hati
kelopak setia kembali bertaut.
dan robekan kasih bercantum lagi.

sesekali
kuimbas kembali saat tercarik
di dahan lain engkau membelit
belajar menjalar menular rindu
memesrai taman dedalu
kucari kekuatan di dalam layu
bila bahagia patah terkulai
kita pun tercerai berai.

aku ingin berpesan
ribut pernah memberi kesan
langit tidak selamanya cerah
andai semilir memujuk rayu
kudup kasihmu akan diraup
pohonan cinta akan punah
tiada lagi kita bersatu
menitip rindu ke hujung waktu.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
11 Ogos 2013
4.33 pm.

SAHABAT



SAHABAT

sahabat adalah cermin
membias gerak hati
ia senyum bagai mengejek
atau membakar seperti api
memberi warna merah ungu
melukis wajah
dalam seribu laku.

sahabat adalah semarak budi
mengharum nama
mewangi kasturi
aromanya segar
walau di pusara sepi.

sahabat adalah hujatan dendam
mengawet geram
kebusukan terhidu
bagai helaian buku
siapa pernah peduli
salah atau benar
ghairah di bibir onar.

sahabat adalah pintu kemuliaan
sahabat memesong lorong kehinaan
sukarnya memilih
dalam topeng
atau kesejatian yang membahagiakan.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak.
8 Sept 2013.
5.59 pm.

TUNAS HARAPAN


Sulitnya menentu hala
kebersamaan dalam tujuan
lorong di depan membias cahaya
namun jebakan ranjau
bersimpang siur
kerikil menadah di jejak kaki.

Kalau segalanya dapat berubah
meninggalkan puing-puing kecewa
senyum tawa menjadi indah
tidak lagi sukma berdarah

Dapatkah mencari
keserasian dalam menghuni
andai diburu kewalangan hati
menjernihkan pandangan jiwa
menyingkap tabir keliru
meski berkabur hitam
debu cemburu
menghembur segenap ruang.

Segalanya bermungkinan
bila bercambah tunas harapan
kuntum mesra menebar harum
warna suram menjadi terang
menghirup madu di dalam pahit
kelangsungan hidup
berbuah bahagia
di pohon-pohon cinta.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
6 Ogos 2013
3.34 pm

SEANDAINYA

kasih sayang bukan lambungan
bagai bola terlepas tangan
setia kasih jadi pegangan
do'a dan restu dalam sanjungan.

bila hati menurut sungguh
kepada Allah do'a ditaruh
dengan harapan bersatu teguh
usah terlerai simpulan kukuh.

andai hidup sehati sejiwa
biar sekubur mati bersama
bila engkau insan istimewa
di dalam tidur tetap menjelma.

namun bila tiada senyawa
pincangnya lagu kehilangan irama .
andai si dia merasuk kecewa
pedihnya hati sangatlah lama.

bila hampa jadi hujatan
sengketa lalu melarut angan
andai diri berkerat rotan
berpatah arang bersambung jangan.

SRI MAWAR
KualaKurau
Perak.
4 sept 2013

BILA HILANG

BILA HILANG

bila hilang menyepi hati
terasa ruang meratap sunyi
dalam gelisah tercari-cari
tidak daya menipu diri.

bila rasa masih memuja
dingin pagi bagaikan senja
kosong diri meraung hampa
hilang akal bagaikan gila.

asyik merayu dalam diam
ingin menatap sebelum malam
bila dinihari mata terjaga
bermain mimpi mencari dia.

airmata menitis laju
bagaikan lelayang patah teraju
terawang-awang dalam khayalan
rindu menyapa dalam kenangan.

andai kasih masih berbunga
sukar merobek kelopak cinta
walau setapak ingin mengusir
terpaut kasih takkan mungkir.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak.
2 Sept 2013
11.44 pm

TANAH AIR TERCINTA

TANAH AIR TERCINTA

Ini tanah air tercinta
merdekalah ke puncak jaya
mengenggam sejuta cita
menyemaraklah jiwa bangsa.

Ini tanah airku
rakyat hidup biar bersatu
membina negara maju
memperkayakan khazanah ilmu.

Bila mengenang keperitan
usah lagi jadi tawanan
kita wajar seiring sejalan
membentuk perpaduan
menghindar dari penjajahan.

Waktu menjadi saksi sejarah
sengsara hidup dihenyak penjajah
betapa kejam pertumpahan darah
keringat pahlawan jenuh diperah
tidak undur pantang menyerah.

Dalam kedamaian ini
hasrat petualang biar di kebumi
tanah ibunda milik abadi
jangan terhasut ingin dikhianati.

Merdeka
merdekalah
sejahtera itu menjadi milik kita.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
19 Ogos 2013

SUKA DUKA

SUKA DUKA

Cinta
taman rasa
mencari makna
warna bahagia

Kecewa
laman keliru
cemburu memburu
kehilangan restu

Suka duka’
warna hidup
senyum tangis
kembara dalam rahsia.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
29 Ogos 2013
6.40pm

DOSA





DOSA

Di mahkamah dunia
andai tak terpenjara
atau didakwa mangsa
kecurian, ragut bermaharaja lela
senjata ,peluru mainan cuma
bayi tercampak tak berdaya
dadah, mabuk, bahana asmara
bunuh membunuh perkara biasa
dosa sekadar pada nama
sebelum nyata terjunjung
alang-alang kepalang tanggung.

Atau sengaja lupa
di mahkamah akhirat azab memberat
pertunjuk Allah memberi ingat
imbalan perbuatan nampak jelas
dalam kabur erat menyirat
seksa di alam nyata
geruh memberi makna.

Mahkamah dunia dan akhirat
segala timbang tara dan catatan malaikat
jika iman kukuh
nafsu segala tidak merusuh
takwa mainan jiwa
hidup bukan untuk sendiri
tapi untuk mengabdi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak 
27 Ogos 2013
2.10 pm

HIDUP

HIDUP

segalanya berkemungkinan
membelai hayat
antara rindu dan airmata 
soal hati dan fikir
mencari manis dalam pahit
bermain di telapak takdir
keimanan takkan mungkir.

pengabdian
mencerna impian
mencari suka dalam duka
sesuai pintamu
berkalung do'a
segalanya mengubah
di langit takwa

tidak perlu menangis
memaknai kesedihan
atau bersorak riuh
memesrai kegembiraan
bila hanya Dia yang tahu
qada dan qadar
di dalam azalimu.

SRIMAWAR
Kuala Kurau.
Perak
26 Ogos 2013
12.03 am

MERDEKA



MERDEKA

merdeka rasa
melapangkan dada
walau jasad terikat
batin lepas bebas
terbang ke angkasa
menerawang menyapa langit.

hela nafas
dalam lega dan debar
terus mencari
kesejatian diri
tanpa penjara
dan pasungan hidup.

rindu sekadar membelenggu
dalam kalut dan ragu
hasrat memberat
tak mengenal kesal
dalam sepi dan bebal.

merdeka jiwa
tanpa hamba
bertuan diri
mencari maknawi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak.
25 Ogos 2013

ADAKALA

ADAKALA

walau seringai menggoda
tidak pernah melambai mesra
cukup sekadar senyum
menyimpan rindu
saat hati menyapa
lebih indah
andai berbunga do'a.

adakala
mencintai dalam diam
lebih bermakna
tanpa bujuk rayu
kerana pesona itu
sukar diduga
andai sidia hanya berdusta.

engkau cuma dapat berharap
kala mata mula terlelap
bermain api
waktu terjaga
cinta bukan lagi mimpi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau,
Perak.
25 Ogos 2013
8.13 am.

MARAH

MARAH

engkau hambur amarahmu
dengan bisa pedih peri
sedang koyakan jiwaku
sarat menyimpan jengkil
barah dari retak hati.

biar sukmaku pecah
dipalu gundah
hilang percaya
benci menggoda
meski kudratku longlai
semangatku tidak terkulai.

andai dendammu membusut
aku tak akan kalut
takkan tertumpah airmata
bila kering telaga jiwa.

SRI MAWAR
Kuala Kuala
Perak.
24.Ogos 2013
3.24 pm