Jumaat, 6 Jun 2014

SEORANG IBU TUA DI HUJUNG DESA

SEORANG IBU TUA DI HUJUNG DESA

Retak wajahnya
kelam sinar mata
ketaran jari jemari
kenangnya ingat-ingat lupa
senyum tersipu
merenung mencari siapa
itulah wajah usia seorang tua
di hujung desa.

Kala diri dikunjung
indahnya bagai disanjung
anak-anak menyergah
sanak saudara mengagah
sahabat tertawa gah
mulutnya riuh melatah
lelah
terlupa susah payah.

Itulah kebahagiaan
menjadi seorang tua
mengukir hayat mencari maknawi
dalam sebuah kehidupan
biar mati tak menjadi beban

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak..

Siaran Harian Metro 16 April 3013

Isnin, 6 Januari 2014

BADAI HIDUP

Tidak terucap dengan kata-kata
pedih tusukan sembilu duka
waktu kita masih bersama
merejam aku dalam sengsara
meruntuhkan mahligai impian
engkau putuskan talian kasih
sedang anak dalam susuan
engkau rentap jauh tersisih.

Kini aku berlayar sendiri
tanpa nakhoda
bila takut merentas lautan
gelombang hidup menakutkan
dapatkah menjinak ombak
andai badai sentiasa bergolak.

Kalau dapat
hidup ditenun indah
dari tangan insan budiman
inginlah aku
turut menjadi hamparan
menyulam bunga senyum
menghiasi mahligai bahagia
tanpa duka dan airmata.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
26 Dis 2013

BILA CINTA





Jangan lara kerana cinta
itu bukan penyudah bahagia
andai diturut gelora rasa
pasti jiwa dalam derita.

Cinta itu suci dan murni
walau bersatu tidak pasti
andai diri saling mengerti
cinta sejati kekal abadi.

Bila cinta menawar rasa
antara suka dan duka nestapa
jangan diturut nafsu membara
usah merana kerana hampa.

SRI MAWAR
KualaKurau
Perak
27 Dis 2013

BUNGA HARI







Baru tadi engkau pergi
2013
tidak mungkin kembali lagi
namun sisa -sisa kelmarin
masih berbekas menjadi kenangan.

Dan hari ini
2014
bermula langkah perjalanan
apakah sehebat dulu
atau masih kekal membeku.

Bila semuanya takdir
tiap sesuatu menjadi ilusi
berbunga harapan
menjadi impian
sebelum nafas terhenti
do'a kudus tetap mewangi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak.
1Jan 2014




ENGKAU YANG HILANG




Tersentak dari igauan
kelu kata-kata
semua sudah berakhir
dia pergi menjejak takdir.

Masih ada janji
yang belum lunas
buat rimbun bertunas     
maafkan
andai diri tidak layak
berlari mengikut jejak.

Engkau yang hilang
mematikan semangat
harapan terbeku
tidak mampu mencari
sejuring cahaya
dalam suara dan karya.

hanya engkau yang mengerti
kematian melupuskan mimpi
dan aku pun tertutup bicara
sepi dan tak berharga

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
4 Dis 2013



MARAK API

Semarak api
kadangkala membakar diri
mengundang hangat
panas menyengat kulit
mata sakit memandang
bahang mengundang pedih..

Siapakah yang sudi menjirus
padamkan api dendam
dalam diam jengkil terpendam
jika sekadar menambah wap
bertebaran kepulan asap
hitam menjulang
debu nista bertaburan
biarkan ia menjadi bara
letih menyala menjadi arang
menconteng ke wajah diam.

Hati yang liar
bila sukar ditawan
biarkan saja berkeliaran
lepaskan saja keluhan sendiri
simpankan duka di lubuk hati
anggap harapan hanyalah mimpi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak..
26 Dis 2013

BAHAGIA


Kita sedang bahagia 
tanpa ada keraguan
menanam pohonan cinta
membiak menjadi ladang
kuntum kembangnya kita cium
aroma kasturi mengharum..

Kita pernah luka
dalam arus sengketa
dan darah merah melimpah
dari aspal hati
yang memercik benci.
lalu muhasabah diri.

Kita pun mengapai
keindahan dalam harmoni
melupuskan jengkil hati
memungut kasih sayang
merentasi titian hidup
kebahagiaan kita hirup..

Tiada lagi sukma membarah
dalam redha dan pasrah
kita merenung kekhilafan
buang jauh –jauh
debu keliru masa lalu
menjernihkan noda rasa
melupuskan sengketa.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak.
25 Dis 2013.

ULANG TAHUN PERKAHWINAN 2013

APA DOSAKU ,IBU




Engkau benci aku
lalu terbuang bagai sampah
tak berharga
tiada daya tangan mengais
serangga melata mengigit
dingin angin mengelus kulit
aku sakit , lapar.

Engkau ingin membunuhku
meletakkan aku di pinggir jalan
kalau saja ajalku sampai
dalam trajis nyawa tergadai
puaslah hatimu
aku terhimbau
bahana nafsu melampau.

Salah akukah?
menumpangi rahimmu
mencipta dosa
dari kebencian ayah ibu
hingga kering telaga cinta
aku tidak berhutang air susumu.

Jangan salahkan aku
andai sumpah tertumpah
engkau akan melarat
laksana musafir sesat
dan aku anak keparat ini
tidak akan mengenalimu
lantaran aku terlahir
dari rahim seorang binatang
yang bertualang menjalang.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
11 Dis 2013

sajak yang tersiar di akhbar mingguan malaysia ahad.

KELUARGA BAHAGIA

Anak penyubur kasih dan sayang
jadi penyimpul ikatan hati
sedang berjauh asyik terbayang
bahagia berkumpul anak dan isteri.

Isteri pendorong ketabahan diri
cahaya mata penguat semangat
Rumahtangga bijak dikendali
walau ke mana sentiasa ingat.

Alangkah tenteram beristeri mithali
suami beraja bagai khalifah
porak peranda tidak sekali
rumahtangga tersangat indah.

Andai beristeri laksana khadijah
peribadi suami seteguh Rasulullah
pasti hidup mengukir sejarah
dapat pertunjuk kasihnya Allah.

Tapi kita manusia biasa
mudah lupa menjaga hati
serahkan saja pada Yang Esa
asal beriman Allah perhati.

Kita berdo’a siang dan malam
punyai anak permata terpilih
pasti hidup aman tenteram
tidaklah jiwa asyik merintih.

Andai anak elok di didik
penyejuk hati pandai berbakti
dapat terlahir anak yang cerdik
mengharum nama laksana melati.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
12 Dis 2013

AKU PUN

Aku pun
letih 
mendongak langit
mencari bintang
dari janji malam
tapi tetap kelam
bila mendung terbit senja .

Aku pun
tunduk
menatap bumi
mengais khazanah
dari janji tanah
tapi tetap membenam
bila telapak meletak jejak.

Aku pun
memikir
lepaskan segala
khayalan palsu
dari rasuk memburu
tapi tetap terbeban
bila perit memegang harapan.

Sesungguhnya
menjadi aku
harus kuat
mencari diri
bukan terhumban
pada munafik keduniaan.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
7 Dis 2014

SELAMAT JALAN

Hari ini aku hilang engkau
menyelinap senyum dari raut wajah
dalam bayangan 
mencari dirimu yang kelmarin.

Engkau pernah menangis
kala lukamu membarah
cerita malang
diolah pertualang.
dan degup jantungmu
telah lama terhenti
memandang dunia
dalam relung kosong.
dan sepi pun mengigit
dalam sakit dan perit.

Selamat jalan, kawan
hari ini segalanya sunyi
tenanglah engkau
titik-tiitk hitam tiada lagi
rindu pun mengamit
dalam hujan rintik-rintik.
di peraduan yang panjang
engkau di sambut
kekasihmu yang dulu.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
6 Dis 2013

DIDEKASI BUAT ALLAHYARHAM MAIKALTHOM.(Kak Som)

JALAN PULANG

Aku akan pergi 
dengan putih hati
tanpa ada ragu
atau cebik cemburu.

Aku harus menghitung
detik yang berlangsung
merenung putih mata
dalam putus asa.

Aku pun mencari
nikmat cinta Ilahi
walau susah payah
gelodak jiwa pasrah.

Aku ingin bahagia
tenteram dalam jiwa
tiada rusuh resah
hidup dalam fitrah.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
6.Dis 2013

ELEGI




Mengait bebenang malam
dalam pahit menyulam
menusuk mimpi manis
hitam tiada celah
sinar tidak menyerlah.

Merenda tenunan masa
mencarik helaian mimpi
dalam satu elegi
ternyata malam hanya diam
tidak perlu memintal angan.

Lepaskan saja
bila khayalan jadi ngeri
aksara jiwa tidak tersingkap
tabir rohani menyerkap
bicarakan pada bulan
ada gelap di lingkungan hati.

Terbit fajar
membunuh igauan
simpankan rindu
meski sedikit lelah
tersedar dari lena
pagi pun membasah.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
4 Nov 2013

IHSAN


Aku intai titik cahaya
dari relung sinar matamu 
lalu kukutip segenap rasa
dari biru warna cintamu.

Aku meraup pedih sukma
dari luka dalam dadamu
lalu kupujuk resah hiba
dari tusuk sembilu rindu.

Aku himpun do’a munajat
dari ihsan Rabul Izzati
lalu kupintal lirih kusyuk
dari bahagia restu buatmu.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
3 Dis 2013

MADU CINTA


Kekasih,aku menunggu
bersama buah- buah rindu
lalu memuja
kerdip bintang
gemerlapkan jantung kalbu.

Kalau ada ihsan
dari cahaya cintaMu
dakaplah aku
sekuat-kuatnya
jangan lepaskan
kerana aku takut
jatuh ke lembah hina
karam kelemasan
di mimpi berahi.

Aku ingin meneguk
madu cinta
dari asmaMu
dari geluk takwa
sepuas-puasnya
lalu rindu tenggelam
ke dasar hati
mengalir di urat nadi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
2 Nov 2013

BUNGA SYURGA

Kerana Engkau kekasih
yang awal dan akhir
kupanjat do’a
mencium bunga syurga
yang engkau janjikan
di sepertiga malam.

Aku ingin
menumpah setia
dalam pelukan
biar tersungkur
hancur dan lebur.

Hangus terbakar
asa bergetar
zikir hilang
lalu menjadi cahaya
zat yang Esa.

SRI MAWAR
Kuala kurau
Perak
2 Dis 2013

DAIRI HIDUP


Dari jauh renungan
ada tatap mengungkap
bagai bercerita
sesaknya nafas hidup.

Dari usap dada
ada resah tertancap
bagai membelenggu
pedih pilu jiwa.

Dari jernih airmata
ada kisah dukalara
bagai memesan
usah menaruh harapan.

Dari keluh kesah
ada risau mengalau
bagai penyesalan
menanggung sejuta beban.

Dari pejam mata
ada detik kehilangan
bagai memesan
hidup ini pinjaman.

Dari batu nisan
ada kuburan insan
bagai pertanda
akhir sebuah kehidupan.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
29 Nov 2013

AKU INGIN



Aku ingin mencari
kata dua dari seribu bicara
entah apa yang tertancap
dari sinis nada terungkap
kukutip untaian makna
bertaburan
menyerpih jiwa.

Aku ingin merenung
di kerdip bintang
silau harapan
entah apa yang menyinar
membias ke wajah malam
kuintip makna suram
melingkungi diri
meresapi sunyi.

Aku ingin berteriak
menyeru angin
memadam resah
mengalih gundah
lalu bayu pun datang
mengusap kalbu
menghilang buntu.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
26 Nov 2013

SUATU PAGI

Aku menjadi pemerhati
di Dewan Psiaktri
suatu pagi di Hospital Taiping
melihat gelagat
mundar mandir
ketawa terbahak-bahak
desing menggelegak
diam membungkam
senyum memanjang.

Aku duduk di bangku
mengelamun menunggu
angka giliran
ada risau yang tebal
kecamuk jiwa
berbisik teka teki
membayang tragedi

Aku terkedu
ada haru di dada
mendengar sapaan
lelaki tua berkaca mata
” Tanjung Rambutan
lu ada pigi ka?
satu hali ampat kali makan
manyak syiok ho... ”
seringainya menunggu jawapan.

Aku mengangguk
berbasa basi mencari erti
menatap bening matanya
dan imagiku
melakar cerita
duka laranya yang tersimpan.

Seandainya
orang mencari bahagia
cukup dengan makan yang teratur
dengkur tertidur
hanyut dalam halusinasi
lebih indah menjadi gila
tanpa perlu memikul beban
dari menjadi manusia sempurna
yang gila dalam kuasa
lupa mencanai rasa.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
27 Nov 2013

RAJUK SUKMA

Terbisukah suara
dalam getar ingin berbicara
bagai ada rasa terkilan
rajuk sukma makin menahan.

Di mana kalam
dalam berbisik ternyata diam
bagai hilang tutur dan kata
saat hati ingin menyapa.

Aku tidak lagi
memuja-muji
mengharap untaian puisi
merangkai lembaran hari

Entah kenapa
beku di dalam dada
tidak mampu melakar
walau benak kian mencabar.

Kasihku abadi
meski menyendiri
bila rindu tertumpah
jeliranya membasah.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
15 Nov 2013