Khamis, 22 Ogos 2013

KALAU PERNAH DIA TAHU


Kalau pernah dia tahu
apa ada dalam dadamu
takkan terbiar dedalu merakap
tersimpul kasih tumpang mendekap
bila pohonan harap tegak merimbun
dedaun kasih hijau meruntun.

Kalau pernah dia tahu
hatimu berbunga mesra
kuntum kasih menyeri cinta
takkan terhidu bau yang lain
semarak racun di hujung ranting
bila itu cuma pemusnah
bagai reput diam memamah.

Kalau pernah dia tahu
kasih padamu tidak bercabang
mengapa perlu pohon ditebang
andai bercambah tunas rindu
belailah ia jangan dilayu
walau seribu kupu-kupu merayu
takkan terlupa manis madumu.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
6 Mei 2013
10.18pm.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan